Bapa Aina didakwa membunuh anak kandungnya..

ANGGOTA tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini, atas pertuduhan membunuh anak perempuannya Nur Aina Nabihah, 9, pada 31 Januari lalu.

Tertuduh Mohammad Abdullah Mohamed, 35, didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, antara 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, isteri tertuduh berusia 34 tahun yang juga ibu tiri mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah bagi dijadikan saksi pendakwaan kes berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, buah pinggang rosak, usus terkoyak dan patah tulang rusuk antara punca kematian kanak-kanak perempuan itu yang dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya sebelum polis menahan kedua-duanya pada 1 Februari lalu.

Siasatan forensik di rumah mereka keesokannya membawa kepada penemuan kerusi plastik dan tali pinggang yang dipercayai digunakan tertuduh untuk mendera mangsa selain turut merampas air jampi.

Lebih menyedihkan apabila Nur Aina turut dipercayai diseksa seperti rekrut komando dengan dipaksa melakukan tekan tubi, ‘sit up’ dan ketuk ketampi selain dipukul, ditendang dan dipijak oleh bapa kandungnya.

BUKAN setakat dipukul, malah suspek dipercayai turut menggigit leher Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang mati dipercayai akibat didera, 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, suspek yang juga bapa kandung mangsa membuat pengakuan itu ketika soal-siasat pihaknya.

“Selain itu, dia turut mengaku menyuruh mangsa melakukan tekan tubi sebanyak 500 kali. Perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak awal tahun lalu dengan alasan kononnya mangsa seorang kanak-kanak yang degil,” katanya kepada NSTP.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nur Aina Nabihah meninggal dunia 31 Januari lalu, dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya, sebelum keputusan bedah siasat mendapati dia mengalami kecederaan pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk. Berikutan itu, pasangan itu yang masing-masing berusia 35 dan 34 tahun, ditahan reman tujuh hari sehingga semalam, sebelum tempoh itu dilanjutkan tujuh hari lagi, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.