Murid maut dirempuh motosikal selepas pulang ulang kaji pelajaran

KEMAMAN – Seorang budak lelaki berumur 10 tahun maut selepas basikal yang ditunggangnya dirempuh dua buah motosikal ketika mangsa sedang menyeberangi jalan untuk pulang ke rumahnya setelah keluar mengulang kaji pelajaran di rumah rakan sekelas.

Kemalangan berlaku di Kilometer 1, Jalan Chukai-Air Putih berdekatan bangunan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), lebih kurang jam 8 malam tadi.

Mangsa, Muhammad Adib Ashraf Badrulhisham yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai menghembuskan nafas akhir kira-kira jam 9.30 malam ketika sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Kemaman.

Mangsa yang tinggal di Taman Seri Pauh, Kampung Gong Pauh, di sini, pergi belajar di rumah rakan sekelasnya itu di Kampung Gong Limau, iaitu kampung bersebelahan dengan taman perumahannya.

Dikatakan mangsa pada awalnya pergi meminjam buku teks dengan temannya itu dan selepas pulang ke rumah, mangsa melihat ibunya belum pulang lalu mengambil keputusan untuk keluar sekali lagi ke rumah terbabit untuk mengulang kaji pula.

Ibu mangsa, Aida Ruhyani Abdul Rashid berkata, pada waktu pagi sebelum kemalangan berlaku arwah yang juga anak sulung dari tiga beradik mengadu bahawa ada antara halaman pada salah sebuah buku teksnya hilang kerana tercabut.

“Arwah cakap ‘Ibu…buku teks abang ada yang tak ada ‘page’ (muka surat)’. Jadi saya cadangkan padanya agar pergi pinjam buku teks kawannya untuk difotostat sebab di rumah kami ada mesin fotostat.

“Lepas itu saya keluar rumah dan saya tak tahu anak keluar jam berapa dari rumah. Sebaik saja saya pulang semula ke rumah sekitar jam 6 petang, arwah masih belum balik,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Aida Ruhyani yang juga guru Tabika Perpaduan MPK kemudiannya dikejutkan dengan khabar duka tentang kemalangan menimpa anaknya itu dua jam kemudian sebelum segera bergegas ke hospital.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinggal kenangan… Gambar Muhammad Adib Ashraf (kanan) yang lengkap berpakaian seragam sekolah bersama bapa dan adiknya semasa sesi persekolahan 2018 baru dibuka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, nahas itu dipercayai berlaku selepas dua buah motosikal masing-masing jenis Honda EX5 ditunggangi remaja lelaki berusia 16 tahun dan motosikal Yamaha 125Z dinaiki pemuda berumur 25 tahun gagal mengelak dan melanggar sisi kanan basikal mangsa yang sedang melintasi jalan.

Berikutan itu, menurutnya, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada kepala serta badan sebelum dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Dua penunggang motosikal itu bagaimanapun cuma mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan pesakit luar di hospital sama

“Semasa kejadian kedua-dua motosikal itu dalam perjalanan ke Air Putih,” katanya.

Tambah beliau, kejadian berlaku ketika cuaca hujan di kawasan pusingan U untuk jalan menghala Chukai.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

 

 

 

 

 

 

Jenazah mangsa dituntut ibunya pada jam 12.10 tengah malam dan dibawa pulang ke rumah mereka untuk urusan pengebumian yang menunggu ketibaan bapa mangsa yang tiada di sisi keluarga kerana difahamkan bekerja di Pengerang, Johor.

Sumber: terengganutimes.com