Puas “Berperang” Dengan Penjenayah… Syabas PDRM!!!

ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal cedera di bahagian muka, mulut, kaki dan tangan selepas dilanggar penjenayah yang melarikan diri di Jalan Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh kira-kira 11 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Unit Ronda Bermotosikal (URB) yang memaklumkan pihaknya terpaksa melepaskan empat das tembakan terhadap Honda Civic kerana kenderaan itu menghimpit dan melanggar mereka.

“Menurut keterangan anggota polis itu, mereka menemui dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Simpang Empat, Jalan Rawang – Kuang. Apabila mereka mendekati suspek, kedua-dua lelaki itu melarikan diri dengan memecut kereta terbabit.

“Anggota terbabit mengejar suspek dan mengarahkan mereka menghentikan kenderaan, namun mereka bertindak agresif dengan melanggar motosikal seorang daripada anggota polis berkenaan sehingga terjatuh menyebabkan anggota berkenaan melepaskan satu das tembakan ke arah kereta suspek,” katanya.

Somu berkata, seorang lagi anggota URB mengejar suspek hingga Kampung Kubu Gajah sebelum mereka memberhentikan kereta dan melarikan diri ke rumah di Jalan Paya Jaras Hilir yang terletak kira-kira 500 meter dari kampung itu.

“Ketika anggota terbabit mahu menahan mereka, suspek sekali lagi mengundur dan melanggar motosikalnya menyebabkan dia terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta itu.

“Pemandu kereta terbabit berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi suspek berusia 49 tahun berjaya ditahan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang memaklumkan suspek mempunyai lima rekod jenayah.

Beliau berkata, pihak polis forensik sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian di mana kereta itu ditinggalkan di Kampung Kubu Gajah.

“Kami masih memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri dalam kejadian itu bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 8:12 PM Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my